Sunday, May 2, 2010

TIDAK ADA SEKAT MENYEKAT DALAM UMNO JERANTUT


Saya ingin memberi respon dengan laporan laman blog ‘Suara Prihatin UMNO Jerantut’ bertarikh 1hb. Mei.2010 dengan tajuk ‘UMNO Jerantut: Setiausaha yang tak setia’, yang mengulas mengenai adanya orang tertentu yang cuba menyekat saya dari memberi ucapan.


Saya tidak akan mengulas perkara yang tidak ada kaitan dengan saya kerana berpendapat itu bukanlah hak saya untuk mengulas mengenainya.


Saya ingin menafikan disini bahawa saya telah dihalang dari berucap pada majlis tersebut. Memang saya dilantik oleh YBM Tengku Ketua sebagai Timbalan Pengerusi Penyelaras DUN Damak di mana beliau sendiri adalah Pengerusi Penyelarasnya dan bagi seluruh Parlimen Jerantut, namun sukacita dinyatakan bahawa didalam aturcara majlis berkenaan langsung tidak tercatat mengenai saya dijadualkan berucap pada hari tersebut:.


1. Sila lihat aturcara majlis berkenaan yang saya salin semula tanpa sebarang pindaan;


----------


ATURCARA MAJLIS


10.15 Pagi - Jemputan mengambil tempat

10.00 Pagi - Ketibaan,

YBM Tengku Dato’ Seri Azlan Ibni Sultan

Abu Bakar

Ketua

UMNO Bahagian Jerantut.

- Bacaan Doa

- Ucapan Aluan Oleh,

Ybhg Dato’ Ghazali bin Sulaiman

Setiausaha

UMNO Bahagian Jerantut

- Ucapan Perasmian Oleh,

YBM Tengku Dato’ Seri Azlan Ibni Sultan

Abu Bakar

Ketua

UMNO Bahagian Jerantut.

- Penyampaian,

Peruntukan Khas Persidangan Cawangan-

Cawangan, Sayap-Sayap cawangan UMNO

DUN Damak 2010

- Jamuan Makan



1 UMNO 1 MALAYSIA

-----------



Jelas bahawa diatas tidak langsung tercatat bahawa saya patut berucap pada majlis berkenaan dan jemputan berucap kepada En. Zaharuddin Abdul Rahman oleh Setiausaha merangkap pengacara majlis mungkin dilakukan secara ‘ad-hoc’. Bagaimanapun saya tidak mengetahui mengenai perlantikan En. Zaharuddin selaku Penolong Kepada Timbalan Pengerusi Penyelaras, mungkin atas persetujuan YBM Tengku sendiri.


2. Mengenai laporan mengatakan saya disekat berucap pada program ‘Jalinan Rakyat’ yang dianjurkan oleh Wanita UMNO Bahagian, isu ini juga tidak timbul sama sekali. Saya, dengan kuasa sebagai Ketua Pergerakan Wanita yang melantik Puan Siti Hajar sebagai Pengerusi Program bagi DUN Pulau Tawar atas kepercayaan saya terhadap Naib Ketua saya tanpa sebarang keraguan. Sebenarnya pada malam tersebut saya mengalami batuk dan serak suara, jadi saya bersedia untuk tidak berucap atas alasan tersebut.


Tidak timbul saya dihalang oleh Setiausaha Bahagian dan En. Abdullah seperti yang dilaporkan itu kerana ini adalah majlis anjuran Wanita UMNO. Namun akhirnya saya juga terpaksa akur untuk berucap juga atas permintaan dan desakkan YMB Tengku selaku Ketua UMNO Bahagian merangkap Ahli Parlimen Jerantut yang hadir bagi merasmikan program berkenaan.


Berikut saya salinkan teks ucapan saya pada malam tersebut sebagai rujukan;


-------------------


Assalamualaikum warahmatullahhi wabarakatuh,

YBM Dato’ Sri Tengku Azlan, Ketua UMNO Bahagian Jerantut merangkap Ahli Parlimen Jerantut.

YB Dato’ Dr. Shukri, Adun Kawasan Pulau Tawar

Ketua UMNO Cawangan Jengka 24, En. Abdullah Lebai Din

Ketua Wanita UMNO Cawangan

Tuan-tuan dan puan-puan hadirin yang dihormati sekelian.


Terlebih dahulu saya ingin merakamkan ucapan tahniah dan setinggi-tinggi terima kasih saya kepada Pengerusi Jalinan Rakyat DUN Pulau Tawar, Pn. Siti Hajar Mubin kerana atas usahanya-lah majlis dan program kita pada malam ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.


Kita faham bahawa bukanlah suatu tugas yang mudah untuk melaksanakan program seperti ini terutama pada ketika UMNO, parti keramat ini tercalar maruahnya selepas apa yang berlaku dalam Pilihanraya ke-12 yang lalu.


Menyedari hakikat itulah UMNO pusat telah merancangkan beberapa program seumpama ini bagi merapatkan kembali hati rakyat terhadap parti dan memulihkan semula keyakinan rakyat terhadap UMNO.


Untuk makluman semua, ini adalah program ke-2 seumpama ini. Program Jalinan Rakyat yang pertama telah dilaksanakan dengan jayanya dahulu di DUN Tahan. Kami juga sedang merancangkan untuk mengadakan program ini juga di DUN Pulau Tawar selepas ini dalam waktu yang terdekat.


Wanita UMNO Jerantut akan terus menerus mengadakan program-program bagi merapatkan hubungan dengan masyarakat disemua peringkat di seluruh kawasan parlimen Jerantut sabagai satu usaha berterusan untuk menarik kembali sokongan masyarakat terhadap UMNO.


Saya juga ingin merakam ucapan terima kasih saya kepada YB. Dr. Shukri kerana sokongan dan bantuan yang beliau berikan dalam membantu petugas program Jalinan Rakyat ini.


Komitmen yang YB Dr. Shukri berikan itu telah menyedarkan petugas-petugas program ini dan membuatkan mereka lebih tekun dan bersemangat lagi dari awal hingga ke akhir.


Dan, terima kasih yang tidak terhingga dari saya dan seluruh Ahli Jawatankuasa Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Jerantut kepada YBM Dato’ Sri Tengku Azlan, Ahli Parlimen merangkap Ketua UMNO Bahagian yang kita kasihi, kerana dapat meluangkan masanya untuk hadir bersama-sama kita pada malam ini.


Tidak lupa juga kita ingin mengucapkan terima kasih sekali lagi kerana YBM Dato’ Sri telah bermurah hati memberikan peruntukan untuk membantu program pada malam ini. Wanita UMNO sangat berbesar hati dan hargai segala apa yang telah Dato’ Sri lakukan sebagai pemudah cara dalam membantu segala kegiatan yang Wanita lakukan selama ini.


Wanita tidak akan mudah melupakannya, bagai kata pantun lama; ‘Terima kasih daun keladi, kalau ada kami nak lagi’.


YBM Dato’ Sri, YB Dato’ Dr. Shukri, Dato’-Dato’, tuan-tuan dan puan-puan sekalian,


Saya telah mengesan terdapat ramai warga Jerantut ini yang sudah menggunakan ‘facebook’ dan internet dalam kehidupan harian mereka. Dan kita jangan juga lupa bahawa peratusan penggundi dalam PRU13 nanti kebanyakkan nya adalah dari generasi yang sering menggunakan internet ini.


Penggunaan blog dan ‘facebook’ juga semakin hari semakin meningkat dan rancak di Jerantut ini, kerana itu kita juga hendaknya jangan ketinggalan dari media sosial ini.


Wanita telah merancang untuk mengadakan satu kursus ‘Kemahiran Media Sosial’, yang mana akan mendedahkan kita kepada bagaimanakah caranya untuk menggunakkan ‘facebook’ dan ‘blog’ ini. Kita bukan hendak membuat dan menulis blog tetapi kita hanya hendak tau bagaimana caranya untuk mencapai ke blog dan seterusnya membaca blog-blog bagi memberikan kita maklumat apa yang rakyat tulis dan luahkan dan apa yang rakyat hendak kita lakukan untuk mereka.


Untuk itu, saya sangat-sangat berharap agar YBM Dato’ Sri dapat meluluskan kami sedikit peruntukan bagi mengadakan kursus sehari itu yang akan diadakan dalam waktu terdekat ini kelak.


YBM Dato’ Sri, YB Dato’ Dr. Shukri, Dato’-Dato’, tuan-tuan dan puan-puan sekelian,


Sebelum saya akhiri ucapan ini ingin saya menyampaikan salam takzim dari Ketua Penerangan Wanita UMNO bahagian dan Wan Fatimah Wan Musa, AJK wanita UMNO Bahagian Jerantut yang tidak dapat hadir pada malam ini kerana menjalankan tugas di Hulu Selangor.


Sama-samalah kita berharap dan berdoa agar BN akan mendapat kemenangan cemerlag dalam Pilihanraya Kecil itu seterusnya mengangkat kembali martabat parti UMNO supaya akan terus terpilih sebagai parti yang akan memperjuangkan agama, bangsa dan negara kita yang tercinta ini.


YBM Dato’ Sri, YB Dato’ Dr. Shukri, Dato’-Dato’, tuan-tuan dan puan-puan sekelian,

………

………

………

‘Budak-budak bermain kotak,

Main kotak tepi perigi

Satu pendek yang satu botak

Kedua-dua kami kasihi’

Dari puncak air meleleh

Berperahu, berakit dan berjalan kaki

Andaikan kami dapat memilih

Tetaplah tuan pilihan hati


Sekian, wabillahi taifik walhidayah - wasallamualaikum warahmatullahhi wabarokatuh.


-----------------



Saya harap dengan penjelasan panjang lebar ini dapat menyelesaikan kekeliruan yang berlaku dan yang lebih utama lagi adalah mengukuhkan UMNO Bahagian supaya tidak terjadi perpecahan diantara kita.


Saya tidak pasti jika ada pihak-pihak yang cuba memecah-belahkan Wanita UMNO yang saya rasakan semakin hari semakin mantap. Hubungan saya dengan Naib Ketua berada ditahap terbaik begitu juga dengan Ketua Penerangan. Kami tidak menghadapi apa-apa masalah walaupun dibelakang saya mendengar banyak cakap-cakap yang mengatakan itu dan ini namun saya anggap itu hanyalah gossip politik semata-mata.


Saya ingin nyatakan disini bahawa Wanita UMNO masih kuat dan bersatu, tidak ada sebarang keretakkan dan saya berharap janganlah ada sesiapa yang cuba menghuru-harakan kami dengan niat memecah-belahkan hubungan sedia baik terjalin. Saya lebih suka fokus kepada pemulihan dan memperkasakan UMNO kerana itu adalah cabaran terbesar kita.


Semoga UMNO akan dapat menarik semula perhatian dan sokongan rakyat terutama sekali menjelang PRU13 akan datang ini. Kita ada tugas yang lebih penting iaitu memperkasakan UMNO dan memenangkan BN dalam PRU itu nanti. Pertelingkahan sesama kita akan semakin melemahkan kita. Justru, mari kita terus fokus pada perjuangan kita demi Agama, Bangsa dan Negara.


No comments: